Angkara larangan guna telefon, 4 remaja lari dari rumah anak yatim

Angkara larangan guna telefon, 4 remaja lari dari rumah anak yatim

Kehilangan empat remaja terbabit hanya disedari selepas penyelia asrama berusia 35 tahun dimaklumkan penghuni asrama lain.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, keempat-empat remaja termasuk tiga beradik berusia 13 hingga 15 tahun itu disyaki melarikan diri melalui pintu belakang, tengah malam tadi.
PETALING JAYA:
Gara-gara tidak berpuas hati dengan larangan menggunakan telefon, empat remaja lelaki termasuk tiga beradik melarikan diri dari rumah anak yatim di Kuantan, Pahang, hari ini.

Kehilangan empat remaja terbabit hanya disedari selepas penyelia asrama berusia 35 tahun dimaklumkan penghuni asrama lain pada 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, usaha mengesan lokasi remaja berusia antara 13 dan 15 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan kehilangan mereka.

“Mereka disyaki melarikan diri melalui pintu belakang asrama. Bagaimanapun, usaha mencari mereka gagal sebelum penyelia asrama itu membuat laporan polis,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Wan Mohd Zahari berkata, empat remaja yang melarikan diri berasal dari kampung dan daerah yang sama di Pahang.

Katanya, siasatan mendapati empat remaja lelaki itu sudah menetap di rumah anak yatim itu bagi tempoh antara satu dan dua tahun.

“Punca mereka melarikan diri disyaki kerana tidak berpuas hati dengan penyelia yang melarang menggunakan telefon.

“Setakat ini, kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.