Ambil langkah berprinsip, manusiawi tangani isu pelarian, Khaled beritahu kerajaan

Ambil langkah berprinsip, manusiawi tangani isu pelarian, Khaled beritahu kerajaan

Naib Presiden Umno itu berkata langkah demikian sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dicontohi untuk mengiktiraf hak-hak asasi kepada pelarian.

Khaled Nordin berkata, pelarian bukan pendatang tanpa izin (PATI), sebaliknya mereka adalah mangsa keadaan yang terpaksa melarikan diri ke negara ini untuk mencari perlindungan.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengambil langkah berprinsip dan manusiawi dalam menangani isu pelarian di negara ini, kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, langkah itu sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dicontohi untuk mengiktiraf hak-hak asasi pelarian.

“Akses kepada pendidikan, kesihatan dan kebebasan untuk bergerak dengan selamat adalah sangat asasi.

“Marilah kita menguatkan iltizam untuk menjamin hak-hak dan maruah mereka dihormati,” katanya di Facebook, sempena Hari Pelarian Sedunia.

Selain itu, beliau berkata, pelarian bukan pendatang tanpa izin (PATI) sebaliknya mereka adalah mangsa keadaan yang terpaksa melarikan diri ke negara ini untuk mencari perlindungan.

“Mereka terpaksa melarikan diri ke negara kita kerana ingin mencari tempat yang selamat dan berlindung sebelum ditempatkan di negara penerima bagi memulakan kehidupan baharu.

“Mereka adalah golongan yang terpaksa meninggalkan tanah air dan keluarga sendiri tanpa pilihan dan kerelaan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pelarian yang mencari perlindungan di negara ini terdiri daripada orang Islam dari Syria, Myanmar, Iraq dan Afghanistan.

Katanya, semuanya adalah pelarian perang yang tidak mempunyai peluang untuk pulang ke tanah air dengan selamat.

“Atas dasar itu, Malaysia wajar mengambil tanggungjawab moral untuk memastikan mereka dilayan dengan penuh maruah dan peri kemanusiaan.

“Kita adalah sebuah negara Islam. Agama suci ini mengajar kita melakukan kebaikan kepada sesama manusia tanpa mengira status dan asal usul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.