2 lelaki bebas daripada hukuman penjara 23 tahun kerana miliki dadah

2 lelaki bebas daripada hukuman penjara 23 tahun kerana miliki dadah

Hakim Mahkamah Tinggi tersilap dalam membuktikan dakwaan terhadap perayu.

Mahkamah Rayuan membebaskan dua lelaki daripada tuduhan memiliki 51kg dadah jenis methamphetamine dalam bentuk cecair, tujuh tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pekerja restoran dan seorang bekas penjual buah-buahan masing-masing dibebaskan daripada tuduhan memiliki 51kg dadah jenis methamphetamine dalam bentuk cecair di sebuah rumah di Sungai Pelek, Selangor, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam membuktikan dakwaan terhadap perayu.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Ahmad Nasfy Yasin dan Mariana Yahya.

“Terdapat kekhilafan penghakiman. Sabitan dan hukuman diketepikan,” kata Hanipah yang membenarkan rayuan Lee Yuan Cheong, 29, dan Poen Thiam Leong, 49.

Lee, Poen dan Chong Yew Chai, 54, pada mulanya didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah di sebuah rumah di Jalan Tasek Dedap 1 di Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar 93.04gm methamphetamine. Pertuduhan kedua juga adalah bagi pengedaran dadah sama tetapi membabitkan 51.6kg syabu.

Kesalahan pertama didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sepang dan yang kedua, dalam kereta berdekatan kes pertama, kira-kira jam 5 petang, 31 Ogos 2015.

Ketika hari penutupan kes pembelaan pada 2019, hakim perbicaraan meminda pertuduhan kepada pemilikan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas ketiga-tiga lelaki bagi pertuduhan pertama dan 23 tahun lagi untuk pertuduhan kedua.

Hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna mereka hanya menjalani hukuman penjara 23 tahun.

Lee dan Poen juga dikenakan 20 sebatan, manakala Chong terlepas daripada sebatan kerana usianya melebihi 50 tahun.

Chong bagaimanapun tidak membuat rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik hari ini berhujah bahawa pendakwaan kes telah menimbulkan pertikaian apabila polis tidak menyiasat penyewa rumah, Khoo Suk Kim.

“Dia tidak dihadapkan di mahkamah mahupun ditawarkan kepada pihak pembelaan. Terdapat jurang dalam kes pendakwaan,” kata Hisyam yang dibantu oleh Low Wei Loke.

Hisyam berkata, hakim perbicaraan juga salah dengan mengatakan bahawa adalah menjadi kewajipan perayu untuk mengemukakan Khoo.

“Ini adalah kegagalan penghakiman kerana hakim bicara tidak menghargai prinsip perundangan yang penting (bahawa kewajipan untuk membuktikan dakwaan seseorang sentiasa bersama pihak pendakwaan),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa hakim membuat penemuan yang betul bahawa kedua-duanya bersalah memiliki dadah.

“Mereka berada dalam tahanan dan mengawal dadah. Hakim betul-betul menggunakan anggapan pemilikan dan pengetahuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.