‘Tiba masa saya umum’, bekas KP SPRM tak tolak sertai parti politik

‘Tiba masa saya umum’, bekas KP SPRM tak tolak sertai parti politik

Dzulkifli Ahmad tidak akan berselindung untuk menyertai parti politik dan perkara itu akan diumumkan bila tiba masa.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad (tengah) dalam majlis pelancaran skuad sukarelawan Pejabat Tan Sri Dzulkifli, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. (Gambar Facebook)
TASEK GELUGOR:
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan menyertai parti politik.

“Saya sendiri akan maklumkan kalau sudah menyertai mana-mana parti politik, perkara tersebut akan dimaklumkan bila tiba masanya.

“Saya tidak akan sembunyi hal ini dan tak perlu kita nak berselindung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 1,500kg ikan cencaru secara percuma kepada orang ramai di Pokok Sena.

Dzulkifli berkata, beliau akan meneruskan kerja kebajikan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor yang merupakan kampung halamannya.

Beliau berkata, ia bagi meringankan beban masyarakat di kawasan itu ekoran kos sara hidup semakin meningkat.

“Sekiranya saya tidak menyertai parti politik sekali pun, program kebajikan yang dibuat akan diteruskan mengikut kemampuan kami demi membantu rakyat dan penduduk kampung,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan skuad sukarelawan Pejabat Tan Sri Dzulkifli, terdiri daripada golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun bagi membantu masyarakat di Tasek Gelugor dari pelbagai aspek termasuk tenaga kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.