
Beliau berkata, setiap individu di Malaysia tidak mengatasi undang-undang dan pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan jika terdapat dakwaan berlaku ketidakpatuhan atau pelanggaran undang-undang.
Ismail berkata, siasatan terhadap mana-mana individu termasuk hakim boleh dilakukan oleh agensi berkaitan berdasarkan bidang kuasa yang diperuntuk seperti rasuah bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau polis jika melibatkan kesalahan jenayah.
“Tak perlulah mereka (agensi penguatkuasaan) mengumumkan siapa yang terlibat… diuar-uarkan dalam media tentang siasatan.
“Saya tidak nampak salah untuk menyiasat hakim yang melakukan jenayah, jika ada. Kita tidak mengatakan ada berlaku jenayah kerana ini baru siasatan tetapi caranya tidak perlu heboh di media. Tak perlu sebut nama mereka yang baru disiasat dan mungkin itu yang dipersoal.
“Tetapi, tak boleh persoalkan juga agensi yang menyiasat individu-individu dalam negara ini walaupun beliau hakim atau sebagainya,” kata beliau tanpa menyebut secara spesifik nama individu atau agensi berkaitan.
Beliau mengulas tindakan Majlis Peguam mengadakan perhimpunan untuk kebebasan badan kehakiman di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ahli Parlimen Bera itu, berpandangan tindakan Majlis Peguam mungkin disebabkan cara siasatan dilaksanakan agensi berkaitan.
Ismail berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Perjumpaan Khas dan Ramah Mesra Bersama Petugas Jalinan Rakyat (JR) Parlimen Bera, di Kompleks Rakan Muda Bera.
Perdana menteri turut mengulangi pendirian kerajaan yang menghormati dan berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dengan badan kehakiman diberi kebebasan untuk menjalankan perbicaraan serta membuat keputusan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Menyentuh cadangan menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik, Ismail berkata, ia masih berjalan dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang serta Jabatan Peguam Negara) telah diarah melakukan kajian menyeluruh untuk dibentang kepada Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.