
Bekas perdana menteri berkata, wajar bagi parti gabungan diberikan peluang kerana mereka juga banyak membantu kemenangan BN.
“Pucuk pimpinan BN akan menimbang perkara ini (rakan BN bertanding) dan kita harap dapat cari kata sepakat dalam hal ini.
“Saya sedar ada persaingan dalam hal kerusi ini, tetapi kita akan cari jalan permuafakatan antara kita supaya BN menang PRU15,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, beliau yakin dengan komitmen parti gabungan untuk bersama menghadapi PRU15, malah komitmen Umno dan rakan parti gabungan BN adalah tinggi.
Parti Friends of BN terdiri daripada Barisan Kemajuan India Se-Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia, Parti Cinta Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia.
Ditanya sama ada BN akan bertanding secara sendirian pada PRU15, Najib berkata, perkara itu belum ditentukan lagi.
Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan berkenaan akan berbincang dengan rakan gabungannya bagi penentuan kedudukan kerusi ditandingi.
“Saya pasti akan beri peluang di mana (kerusi) kita akan bincang,” katanya.
Dalam laporan sebelum ini, Zahid menegaskan BN akan mempertimbangkan untuk memilih calon dalam kalangan parti Friends of BN, bertanding dalam PRU15 nanti.
Zahid dilaporkan berkata, itu menjadi satu kepastian kerana parti gabungan banyak berjasa dalam membantu kemenangan BN pada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN), sebelum ini.
Susulan itu, beliau akan berunding dengan semua presiden parti komponen dan “Top 5” (lima pemimpin tertinggi Umno) dalam kepimpinan parti itu.