Kenapa ambil masa lama keluarkan bunuh diri sebagai jenayah, Befrienders soal kerajaan

Kenapa ambil masa lama keluarkan bunuh diri sebagai jenayah, Befrienders soal kerajaan

Mengikut Kanun Keseksaan, sebarang cubaan bunuh diri merupakan kesalahan dan boleh dihukum maksimum setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Neil Hawkins, Andrew Tan dan Saras Pillai bersama ahli Befrienders selepas menghadiri perbincangan mengenai bunuh diri di Pulau Pinang, hari ini.
GEORGE TOWN:
Kumpulan pencegahan bunuh diri, Befrienders, mempersoal Putrajaya berhubung penangguhan meminda undang-undang mengeluarkan cubaan bunuh diri sebagai jenayah.

“Mengapa ambil masa terlalu lama untuk pinda undang-undang,” kata presidennya, Saras Pillai, dalam perbincangan awam, di sini.

Beliau menggesa kerajaan menyegerakan pindaan undang-undang berkaitan dan berharap Putrajaya melakukan libat urus bersama Befrienders dan kumpulan lain berhubung pencegahan bunuh diri serta masalah kesihatan mental.

Pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kajian mengenai cadangan pindaan dalam Kanun Keseksaan hampir selesai dan akan dihantar kepada Jemaah Menteri.

Mengikut Kanun Keseksaan, sebarang cubaan bunuh diri merupakan kesalahan dan boleh dihukum maksimum setahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ketua Befrienders Worldwide, Neil Hawkins, berkata mewujudkan perbincangan terbuka berhubung bunuh diri dan kesihatan mental membantu mengatasi rasa malu yang masih membelenggu.

Katanya, masyarakat di Britain kini semakin terbuka bercakap mengenai bunuh diri dan masalah mental tanpa rasa malu, stigma dan tanggapan.

Saras menggesa rakyat Malaysia terbabit dalam perbincangan terbuka mengenai bunuh diri bertujuan meredakan stigma.

Katanya, pihak sekolah keberatan membenarkan Befrienders menyentuh mengenai bunuh diri walaupun sebenarnya remaja berdepan banyak masalah kesihatan mental.

“Mereka akan memberitahu kami supaya jangan bercakap mengenai bunuh diri. Namun, itulah sebabnya kami berada di sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.