Cadangan automasi ladang dangkal, cetek, Ramasamy bidas Zuraida

Cadangan automasi ladang dangkal, cetek, Ramasamy bidas Zuraida

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata, cadangan itu tidak akan memberi kesan sama sekali.

P Ramasamy berkata, dari segi definisi, industri perladangan, sama ada pengeluaran minyak sawit atau getah, sepatutnya bersifat intensif buruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gesaan terbaharu penggunaan automasi dalam industri perladangan oleh seorang menteri menunjukkan kurangnya pemahaman tentang proses terlibat, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.

Merujuk kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin semalam mengenai automasi dalam industri minyak sawit, pemimpin DAP itu berkata, cadangan terbabit tidak akan memberi kesan sama sekali.

“Menteri itu mencadangkan penggunaan dron untuk meningkatkan pengawasan atau kawalan serangga perosak, tetapi ini adalah di luar proses pengeluaran.

“Automasi dalam bahagian ini tidak akan memberi kesan terhadap proses pengeluaran,” katanya dalam kenyataan sambil menambah, ia juga menunjukkan betapa dangkal dan cetek untuk bercakap mengenai luaran automasi.

Semalam, Zuraida dilaporkan menyaran pemilik ladang kelapa sawit mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan meningkatkan penggunaan automasi dan teknologi seperti dron untuk pengawasan dan kawalan serangga perosak.

Beliau yakin penggunaan automasi di peringkat ladang akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.

Ramasamy berkata, sebarang perbincangan mengenai perubahan teknologi menerusi automasi terhadap industri perladangan harus dibuat kepada proses pengeluaran sepenuhnya, tetapi beliau mengakui ia sukar dilaksanakan.

“Secara definisinya, industri perladangan, sama ada pengeluaran minyak sawit atau getah atau apa-apa produk bahan mentah lain, sepatutnya bersifat intensif buruh.

“Industri intensif buruh, sama ada perladangan atau lain-lain bentuk aktiviti pengeluaran kos rendah, selalu bergantung kepada buruh murah atau dengan kata lain buruh paksa,” katanya.

Bagaimanapun, ADUN Perai itu berkata, peningkatan penggunaan teknologi boleh dilakukan dengan mempelbagaikan aktiviti hiliran melalui proses perindustrian.

“Daripada hanya mengeksport minyak sawit mentah sama ada daripada buah atau isirung, tumpuan harus diberikan dalam menghasilkan produk berbeza daripada minyak diekstrak.

“Ia mengenai penukaran minyak sawit kepada produk siap menggunakan teknologi dan dengan nilai tambah tenaga kerja.

“Inovasi teknologi berlaku dalam industri perladangan apabila buruh diiktiraf atas sumbangannya ke arah proses pengeluaran penuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.