
SPRM turut mengesahkan menerima beberapa aduan terhadap individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah pada perbicaraan bekas timbalan perdana menteri itu.
“Siasatan akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa diperuntukkan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Muhyiddin Yassin menerima RM1.3 juta melalui tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan presiden Bersatu.
Selain Muhyiddin, nama Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Anifah Aman dan Presiden Warisan Shafie Apdal turut direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB.
Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM43 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SGD1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.