Penduduk Kampung Sungai Baru tiada tempat tinggal jika projek batal, kata Shahidan

Penduduk Kampung Sungai Baru tiada tempat tinggal jika projek batal, kata Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan berkata kerajaan terbuka untuk isu pewartaan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, diselesaikan mengikut proses undang-undang.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata pembangunan projek di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, sudah ditangguh selama enam bulan.
KUALA LUMPUR:
Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, bakal berdepan ketiadaan tempat tinggal jika rancangan pembangunan di kawasan itu dibatalkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, berkata kerajaan terbuka untuk isu pewartaan tanah Kampung Sungai Baru diselesaikan mengikut proses undang-undang.

“Kalau kita batalkan perjanjian projek itu bererti 328 penduduk itu kena balik ke rumah mereka yang telah tidak ada lagi kerana kediaman asal mereka sudah rosak. Kita sedang perhalusi masalah perundangan.

“Pembangunan projek tersebut sudah ditangguh enam bulan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3, Setapak oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Shahidan berkata, pihaknya akan mengeluarkan ulasan lanjut berhubung isu itu minggu depan kerana ia berkait rapat dengan undang-undang.

Rancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru dilapor membabitkan penduduk di dua jenis kediaman, iaitu Flat PKNS dan rumah di tanah persendirian, dengan 264 daripada 328 unit adalah flat dan selebihnya rumah teres dianggar berkeluasan 6.8 hektar.

Terbaru, beberapa penduduk Kampung Sungai Baru menggesa campur tangan perdana menteri untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.