Pelancong tunggu 4 jam masuk Malaysia melalui Linkedua, dakwa persatuan

Pelancong tunggu 4 jam masuk Malaysia melalui Linkedua, dakwa persatuan

Majlis Pemandu Pelancong Malaysia berkata situasi itu membimbangkan dan tidak boleh diterima serta berisiko menjejaskan industri pelancongan.

Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) mendakwa anggota Rela memberi keutamaan kepada bas awam tempatan, sekali gus menyebabkan bas pelancong bergerak perlahan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) mendakwa pelancong menaiki bas pelancongan menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) terpaksa menunggu selama berjam-jam di pintu sempadan sebelum dapat memasuki Malaysia.

Presidennya, Jimmy Leong Wie Kong, berkata keadaan itu amat membimbangkan dan tidak boleh diterima dan ia boleh menjejaskan industri pelancongan.

“Pelancong yang datang melalui bas-bas pelancongan menerusi Linkedua pada pukul 8.30 pagi (hari ini) masih menunggu dalam barisan sehingga pukul 12.30 tengah hari. Empat jam lamanya.

“Kakitangan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) memberi keutamaan kepada bas awam tempatan dan ini (keadaan ini) menyebabkan bas-bas pelancong bergerak dengan perlahan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berharap kerajaan Johor menyedari keadaan ini dan akan memberi perhatian serius dalam urusan di pintu masuk negara dan mencari jalan penyelesaian.

“Sekarang sempadan telah dibuka semula, industri seharusnya meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan para pelawat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.