Kami ikut Perlembagaan, kata Abang Jo berkait BI bahasa rasmi Sarawak

Kami ikut Perlembagaan, kata Abang Jo berkait BI bahasa rasmi Sarawak

Premier Sarawak berkata langkah itu tidak bermakna menentang dasar kebangsaan kerana dibuat berlandaskan perkara digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg memegang buku Perlembagaan Persekutuan sebagai simbolik membenarkan Sarawak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan negeri selain bahasa kebangsaan. (Gambar Jabatan Penerangan Malaysia)
PETALING JAYA:
Rakyat tidak harus menganggap kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan tidak sehaluan dalam isu bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi di negeri itu selain bahasa kebangsaan, kata Abang Johari Openg.

Premier Sarawak berkata, langkah itu tidak bermakna beliau menentang dasar kebangsaan, tetapi ia dibuat berlandaskan perkara digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya perlu perjelaskan kekeliruan ini (susulan langkah membenarkan perkhidmatan awam Sarawak terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi).

“Bukan saya tidak sealiran dengan dasar kebangsaan, tetapi kita harus praktikal dan mengakui kepentingan bahasa Inggeris.

“Tambahan pula Sarawak sedang melangkah ke arah dasar ekonomi digital dan ekonomi sekular yang banyak istilah bahasa Inggeris tidak boleh ditukar ke bahasa kebangsaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Kuching.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata, kerajaan Sarawak tidak pernah ingkar, malah mengikut semua dasar dilaksanakan kerajaan persekutuan.

“Kita di Sarawak memang menerima dan mengamalkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan juga kita masih mengekalkan bahasa Inggeris sebagai satu lagi bahasa komunikasi.

“Dalam hal penggunaan bahasa Inggeris (sebagai bahasa rasmi) saya juga ada hak mengikut buku ini,” katanya sambil menunjukkan dokumen Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perkara 161 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas ada menyebut bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibolehkan bagi prosiding di Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Jun lalu, Abang Johari menegaskan perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama bahasa kebangsaan.

Ia sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali, pada 24 Mei lalu, yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti tindakan boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.