
Katanya, tindakan ahli Bersatu bahagian Kangar dan Arau keluar parti seperti didakwa dalam laporan media hanya membabitkan dua daripada tiga bahagian di negeri itu dan jumlah meninggalkan parti berkenaan bukan seperti dilaporkan.
“Selepas kita teliti semula, tidak sampai 50 ahli bahagian Kangar dan Arau yang keluar parti. Di bahagian Kangar hanya kira-kira 20 ahli keluar parti termasuk Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Shaharani Husin dan bakinya dari bahagian Arau.
“Ketua Srikandi (Wanita) Bahagian Kangar, Normi Aziz masih bersama kita dan tidak ada yang menjadi pemangku jawatannya seperti dilaporkan. Ketua Armada (Pemuda) Kangar (Hafis Yahya) juga masih bersama kita dan tidak meletakkan jawatan. Jadi dakwaan kata Bersatu Kangar lumpuh itu tidak benar kerana ketika ini hanya membabitkan tiga cabang saja di bahagian itu,” katanya menurut laporan Berita Harian
Beliau mengulas dakwaan Bersatu bahagian Kangar lumpuh selepas hampir semua ahli jawatan kuasa serta ketua di lapan cawangannya meletak jawatan, seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, tindakan ahli keluar parti adalah perkara biasa yang berlaku membabitkan semua parti, termasuk Bersatu dan perkara itu tidak menjejaskan parti.
Setiap hari juga, katanya, Bersatu Perlis menerima banyak permohonan masuk dan kini sedang giat menambahkan jumlah ahli serta menyusun semula penubuhan lebih banyak cawangan.
“Mana-mana parti pun akan ada masalah. Saya akui sebelum ini wujud masalah di cawangan dan kita sudah pun memperbaikinya dan merapatkan semua jentera parti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya umum (PRU) dalam waktu terdekat,” katanya.