
Dalam hantaran di Facebook, Najib menulis “Benar?”, sebagai respons kepada kenyataan Muhyiddin, sambil memetik beberapa tarikh yang disebut oleh seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Muhyiddin menerima RM1.3 juta melalui tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu sambil menyifatkannya tidak berasas kerana beliau menjalani pembedahan dan rawatan di luar negara ketika itu dan menambah, “Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu,”
Najib kemudian menyenaraikan beberapa laporan dalam tempoh sama yang menimbulkan keraguan terhadap penjelasan Muhyiddin.
Memetik laporan portal Malaysia Gazette bertarikh 4 Jun 2018, Najib menegaskan bahawa ia menunjukkan Muhyiddin, sebagai menteri dalam negeri, cukup sihat untuk membuat lawatan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari berkenaan.
Berhubung dakwaan pembayaran kedua 4 Julai 2018, beliau mengatakan bahawa Muhyiddin masih belum menjalani pembedahan pada masa itu. Bagi menegaskannya, Najib memetik sebuah laporan berita yang mengumumkan presiden Bersatu berjaya menjalani pembedahan pada 12 Julai 2018.
Ahli Parlimen Pekan itu kemudian merujuk sebuah laporan berita dan hantaran di media sosial yang menunjukkan Muhyiddin dibenarkan keluar hospital pada 7 Ogos 2018 dan kembali ke Malaysia serta mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada 14 Ogos.
“Pada 23 Ogos 2018 (Muhyiddin) didakwa menerima RM500k,” tulis Najib yang merujuk keterangan dalam perbicaraan kes Zahid.
Semalam, Tan memberitahu mahkamah bahawa beliau menyimpan lejar bayaran dibuat kepada Zahid antara 2014 hingga 2018. Katanya, nama dalam lejar itu terdiri daripada “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh, Tan berkata, nama Muhyiddin, Shafie, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican turut dicatatkan dalam lejar itu di bawah nama kod.
UKSB adalah syarikat yang mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) untuk pelancong China. Mereka dilantik oleh kerajaan pada 2016.
Syarikat itu terbabit dalam pertuduhan rasuah Zahid dengan bekas timbalan perdana menteri itu dibicarakan atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SDD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB.