Akta Pergigian: Wanita Indonesia individu pertama dipenjara 2 tahun, denda RM25,000

Akta Pergigian: Wanita Indonesia individu pertama dipenjara 2 tahun, denda RM25,000

Tertuduh mengaku bersalah kerana melakukan amalan pergigian tidak sah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 16 Jun.

Tindakan tertuduh memberi kesan buruk kerana amalan pergigian yang tidak mengikut prosedur boleh mendatangkan bahaya kepada awam. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 terhadap seorang wanita warga Indonesia selepas mengaku bersalah melakukan amalan pergigian tidak sah.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noormi Othman, berkata tertuduh didakwa di mahkamah pada 7 Jun lalu dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun sebagai sebutan semula kes namun tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Tertuduh juga mengakui fakta kes yang dibacakan dan gambar barang kes yang dikemukakan kepadanya.

“Tertuduh juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, melakukan kesalahan mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 (Akta 804) di sebuah premis kecantikan di sekitar Bandar Puteri Puchong,” katanya dalam kenyataan.

Noormi berkata, ketika serbuan dilakukan tertuduh didapati sedang melakukan rawatan pemasangan veneer kepada seorang pelanggan wanita.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman setelah mempertimbangkan hujahan Pendakwa Raya, Muhamad Shafiq Mohd Sazalli yang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Ini kerana tindakan itu memberi kesan buruk kerana amalan pergigian yang tidak mengikut prosedur boleh mendatangkan bahaya kepada awam,” katanya.

Katanya, dalam hujahan itu juga, beliau memaklumkan ini adalah kesalahan pertama  disabitkan bawah Akta Pergigian 2018 yang baru dikuat kuasa pada 1 Januari lalu supaya masyarakat sedar amalan pergigian hanya boleh dijalankan oleh pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Jelasnya, Seksyen 62(1) Akta 804 memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan bawah Akta 804.

“Menurut Seksyen 62(2)(g) Akta 804 seseorang disifatkan menjalankan amalan pergigian jika dia memberikan apa-apa rawatan, nasihat atau layanan ke atas mana-mana orang.

“Ia berkaitan dengan memasang atau memasukkan bagi tujuan memasang atau melekapkan gigi buatan atau korona atau jambatan atau perkakas bagi pemulihan atau pengaturan gigi,” katanya.

Bawah Seksyen 62(3) akta sama, mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen 62(1) akta ini dan disabitkan melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

KKM amnya dan Program Kesihatan Pergigian khususnya sentiasa komited dalam membendung amalan pergigian haram bagi memastikan rawatan dan amalan pergigian berkualiti dan selamat disampaikan kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.