Adibah Noor meninggal dunia

Adibah Noor meninggal dunia

Berita kematian itu disahkan dan dikongsi oleh rakan artis menerusi media sosial antaranya Emylia Rosnaida Abdul Hamid.

Adibah Noor dilaporkan meninggal dunia pada 7.45 malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor, 51, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, 7.45 malam tadi.

Berita kematian Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar disahkan dan dikongsi rakan artis menerusi media sosial antaranya Emylia Rosnaida Abdul Hamid.

Penyanyi dan pelakon Ani Mayuni atau nama penuhnya Aishah An-Nur Osman ketika dihubungi berkata, Adibah pernah memberitahunya bahawa dia menghidap penyakit kanser namun meminta perkara itu dirahsiakan, lapor Bernama.

“Arwah minta jangan hebohkan mengenai dia sedang menanggung kesakitan,” katanya menambah kesihatan arwah semakin merosot selepas menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV).

“Selepas habis GV dan masa nak shooting GV Raya, masa itu arwah mula demam sekejap-sekejap dan lama sangat dia dimasukkan ke dalam wad. Rasa macam pelik kenapa tak keluar keluar (dari hospital)?, ingatkan Covid-19 tetapi bila tanya secara peribadi, baru dapat tahu dia ada kanser dan baru sahaja jalani pembedahan.

“Arwah sedang berpantang, nak berehat dan tak ambil show semua, yang kamu tengok dia muat naik gambar, masa dia dah kurus baru-baru ini, itu adalah shownya yang pertama selepas berehat,” kata Ani yang merupakan bekas peserta GV pada musim sama disertai Adibah.

Sementara itu, Emylia dalam hantaran di Facebooknya terkejut dan sedih dengan berita pemergian Adibah yang disifatkan sebagai seorang artis serba boleh.

Pelakon Dynas Mokhtar turut meluahkan kesedihannya menerusi hantaran di akaun Instagram beliau.

“Saya masih terkejut! KakDip (Adibah) seorang periang, mengambil berat dan mempunyai suara yang merdu. Saya akan merindui awak KakDip. Hilang di mata, tapi di dalam hati jangan,” katanya.

Adibah merupakan penyanyi dan penulis lirik lagu hit “Terlalu Istimewa” pada 2005, dicipta khas sebagai penghormatan terhadap tragedi pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa kes jenayah pedofilia.

Pelakon filem Sepet dan Mukhsin itu juga dikenali dalam pelbagai iklan televisyen dan pernah bertugas sebagai penyampai Radio Suria FM.

Sebelum melangkah ke dalam karier seni, penyanyi bersuara lunak itu merupakan guru bahasa Inggeris, penterjemah untuk syarikat korporat dan duta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sepanjang karier seninya, Adibah pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.