Polis hanya benar berkumpul, Badan Peguam tak pasti jika boleh berarak

Polis hanya benar berkumpul, Badan Peguam tak pasti jika boleh berarak

Perarakan untuk 'kebebasan kehakiman' dianjurkan Badan Peguam pagi ini bertujuan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung 'intimidasi' terhadap badan kehakiman.

Setakat 9.40 pagi, lebih ramai anggota polis dilihat hadir hadir di tempat letak kenderaan Padang Merbok berbanding peguam.
KUALA LUMPUR:
Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah tidak pasti jika peguam yang berkumpul di tempat letak kenderaan Padang Merbok akan dapat berarak sehingga ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum.

Beliau memberitahu pemberita pagi ini, polis bersetuju untuk hanya memudahkan perhimpunan di Padang Merbok, bukannya untuk mereka berarak ke Parlimen.

“Kita tengok apa akan jadi,” katanya.

Setakat 10.20 pagi, hampir 500 peguam dilihat berkumpul menghadiri perarakan itu.

Antara yang hadir untuk perarakan itu adalah bekas peguam negara Tommy Thomas dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran daripada DAP.

Peguam berkumpul di tempat letak kenderaan Padang Merbok.

Kula berkata, kehadiran anggota polis yang ramai adalah tidak perlu dan beliau mempersoalkan sama ada mereka berada di sana untuk menjaga keselamatan atau “melaporkan kepada tuan mereka”.

Perarakan untuk “kebebasan kehakiman” anjuran Badan Peguam itu bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung “intimidasi” terhadap badan kehakiman.

Para peguam mengundi semasa mesyuarat agung luar biasa menyokong resolusi Badan Peguam yang mengecam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas peguam negara Tommy Thomas hadir untuk perarakan pagi ini.

Siasatan SPRM terhadap Nazlan dibuat berikutan laporan mengenai wang lebih RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. Kertas siasatan berhubung isu itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Badan Peguam berkata, prosedur Perlembagaan perlu dipatuhi dalam siasatan itu.

Kata mereka, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa aduan tentang dakwaan salah laku kehakiman hendaklah dikendalikan dengan cara yang menjamin keyakinan berterusan orang ramai terhadap badan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.