
Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata, mayat Muhammad Zulhafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman,16, dijumpai terapung dalam keadaan saling berpelukan pada 8.40 pagi, kira-kira 20m dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
“Kedua-dua mangsa ditemui terapung kira-kira 10 minit selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan bermula pada 8.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Muhammad Zulhafiz dan Luqman Hakim sebelum ini dilaporkan dikhuatiri lemas selepas kedua-duanya dilihat kali terakhir mandi di sungai itu pada 6.45 petang semalam sebelum tenggelam.
Kedua-duanya bersama sembilan rakan lain pergi ke sungai berkenaan yang terletak kira-kira 200m dari pondok pengajian mereka.