
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengakui kestabilan dan kekuatan parti akan mendahului aura calon yang dipilih, walaupun pelbagai pihak berpendapat perlunya calon orang muda diangkat mewakili parti.
“Aura calon sahaja tidak cukup kerana politik Malaysia berkait rapat dengan aura parti politik yang diwakili. Apabila membuat pilihan calon wakil rakyat kawasan mereka dalam konteks lebih luas, parti mana yang mampu bentuk kerajaan stabil?” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun beliau tidak menolak jika calon muka baharu datang daripada parti yang stabil kerana ia memberi kelebihan untuk diangkat sebagai “pemenang”.

“Jika digabungkan dengan calon muka baharu dan parti yang stabil…maka gandingan ini amat kuat sekali,” katanya dengan menambah bahawa ungkapan itu boleh merujuk kepada orang lama dalam parti namun tidak pernah diangkat sebagai calon atau benar-benar muka baharu dalam kalangan tokoh muda.
Sebelum ini, beberapa parti teras antaranya Umno-Barisan Nasional dan PKR berkata bahawa ia akan mengutamakan calon muka baharu dan anak muda pada PRU15.
Dalam pada itu katanya, tawaran muka baharu oleh parti teras memecah tradisi sebelum ini yang dilihat lebih cenderung untuk mencalonkan wakilnya mengikut hierarki.
“Keadaan telah memaksa parti untuk berubah dan paksaan itu datang daripada kehendak pengundi sendiri. Bukan sahaja kepada Umno malah juga PKR, DAP dan Bersatu,” katanya.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpandangan bahawa dalam situasi demokrasi Malaysia sedang menuju kematangan, menampilkan tokoh-tokoh muda adalah strategi yang rasional.

“Generasi muda lebih terdedah kepada sumber maklumat yang pelbagai. Mereka lebih memahami cita rasa pengundi daripada kelompok usia mereka,” katanya.
Menyentuh situasi politik pada masa depan, Fauzi berkata, politik kepartian dijangka kekal mendominasi landskap politik tanah air namun sifatnya berubah kepada kebolehan calon.
Malah beliau menjangkakan, tiada parti politik mampu menang selesa pada PRU15 dan kerajaan campuran pelbagai parti seperti kini dijangka akan terus memerintah Putrajaya.
“Walaupun ada dalam kalangan masyarakat kita yang meluahkan impian untuk kembali semula ke era politik yang stabil (kerajaan BN), kebarangkalian untuk itu berlaku adalah kecil. Ini kerana kemahuan rakyat diterjemahkan melalui pilihan yang pelbagai dan parti-parti yang sederhana saiznya juga mempunyai harapan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pemerintah,” katanya.