
Setiausaha Agungnya Jey Kumar berkata, perbezaan dalam data yang ada juga adalah akibat sikap menafikan isu berkaitan pekerja asing tidak berdokumen di negara ini.
Semalam, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram dipetik bercakap mengenai ketaksamaan antara data kerajaan berhubung bilangan tenaga kerja asing, berbanding anggaran yang diberikan syarikat telekomunikasi.
Menurut Malaysiakini, beliau berkata, statistik tenaga kerja Malaysia hanya merekodkan 2.2 juta pekerja asing, namun syarikat telekomunikasi menganggarkan bilangan itu sebenarnya adalah 6.7 juta orang.
Jey percaya, pekerja tidak berdokumen itu dibawa masuk oleh pekebun kecil dan “terlepas daripada pandangan” kerana selalunya mereka berada jauh dari bandar.
“Ramai daripada mereka berada jauh di kawasan pedalaman dan terpencil, jadi kemungkinan untuk orang ramai menyedari kehadiran mereka atau pihak berkuasa memeriksa mereka jarang berlaku.”
Menurutnya, syarikat perladangan besar mempunyai profil tinggi dan ini tidak menggalakkan mereka mengambil pekerja tidak berdokumen.
Sebaliknya, syarikat kecil atau pemilik individu kadangkala membawa masuk pekerja asing secara ad hoc dengan status serta lokasi mereka tidak diketahui selepas itu.
Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran menggesa Jabatan Perangkaan menilai semula dan membentangkan jumlah sebenar tenaga kerja asing kepada umum.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri pasti mempunyai rekod jumlah pekerja asing yang meninggalkan negara ini, seterusnya memberikan bilangan lebih tepat mengenai mereka yang masih berada di sini.
Sementara itu, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) enggan mengulas kerana tidak pasti ketepatan data tersebut.