Walau pada kala sukar, Malaysia Airports tetap hulur bantuan

Walau pada kala sukar, Malaysia Airports tetap hulur bantuan

Sejak dua tahun lalu, Malaysia Airports memberikan bantuan kepada lebih 5,000 orang menerusi pelbagai program.

Walaupun terjejas akibat pandemik Covid-19, Malaysia Airports terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam membantu masyarakat.
PETALING JAYA:
Ketika pandemik Covid-19 melanda, syarikat pengendali lapangan terbang utama negara dapat menjangka waktu kelam bakal mendatang. Apa yang pasti pengoperasiannya sudah tentu terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan.

Namun dalam pada ia melaksanakan perancangan yang dapat mengurangkan kesan negatif akibat pendapatan yang semakin berkurangan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosialnya.

Sejak dua tahun lalu, Malaysia Airports mendekati lebih 5,000 anggota masyarakat dengan mengadakan aktiviti kembali ke sekolah dan pemberian pek bantuan, malah turut mengedarkan makanan berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan ketika Ramadan

Sejak bertahun-tahun lamanya, Malaysia Airports sudah membelanjakan RM52 juta bagi membantu menyokong masyarakat setempat, khususnya menerusi program seperti Joyful Homes dan MYAirportCARES.

Bagi tahun ini, mereka melaksanakan empat program bantuan masyarakat dengan memfokuskan kebajikan pelajar serta keluarga B40 susulan pembukaan semula sekolah serta peralihan negara ke fasa endemik susulan pandemik Covid-19.

Malaysia Airports mengumpul RM27,000 untuk pek prihatin kembali ke sekolah MYAirportCARES. Pengurus Lapangan Terbang Miri Mohd Jauhari Abdullah (lima dari kiri) dilihat bersama pasukannya di Lawas, Sarawak.

Pada Mac dan April, Malaysia Airports mengagihkan pek prihatin kembali ke sekolah kepada lebih 1,600 pelajar di Manjung, Perak serta Lawas, Sarawak yang mengandungi pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis bernilai lebih RM250,000.

Pelajar terlibat datang dari sekolah-sekolah yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dan Padang Terbang Pelepasan, dan Pendaratan Singkat (STOLport) Pulau Pangkor, Perak, serta Lawas.

Matlamat Malaysia Airports adalah untuk memberikan motivasi kepada pelajar berkenaan dalam pada mereka menyesuaikan diri semula dengan menghadiri kelas secara fizikal selepas hampir dua tahun melalui pembelajaran dalam talian.

Sejak 2018, Malaysia Airports membantu lebih 3,600 pelajar dengan menyediakan keperluan asas serta bantuan kewangan.

Selain golongan pelajar, Malaysia Airports turut memberikan tumpuan terhadap keluarga B40 serta kakitangan yang tinggal di kawasan sekitar 39 lapangan terbangnya yang terjejas akibat pandemik.

Pasukan pengurusan kanan Malaysia Airports mengagihkan makanan untuk berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di lapangan terbang.

Bulan lalu, syarikat turut mendermakan baucar beli-belah bernilai RM120,000 kepada 240 keluarga yang tinggal di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. Setiap keluarga menerima RM500 sempena Aidilfitri.

Menganggap kesejahteraan masyarakat yang tinggal di situ sebagai penting, Malaysia Airports berkata, ia mahu memastikan semua orang dapat maju secara seiring memandangkan keadaan kini semakin kembali normal.

Sejak 2013, Malaysia Airports menyemarakkan semangat Aidilfitri untuk lebih 2,000 keluarga yang tinggal di sekitar lapangan terbangnya di seluruh negara.

Ia juga terus komited menyumbang semula kepada masyarakat secara umum menerusi penglibatan secara aktif dengan komuniti setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.