8 individu masuk JB secara haram, polis pasang kawat duri

8 individu masuk JB secara haram, polis pasang kawat duri

Rakaman video tular memaparkan individu terbabit masuk secara haram ke negara ini melalui kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Polis memasang kawat berduri selepas rakaman video tular menunjukkan lapan individu memasuki negara ini secara tidak sah. (Gambar Facebook Onn Hafiz)
PETALING JAYA:
Polis memasang kawat berduri di tebing Selat Tebrau susulan video tular menunjukkan lapan individu masuk secara haram ke negara ini di kawasan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata tindakan awal lain diambil pihak berkuasa dengan mendirikan kanopi, serta menempatkan anggota 24 jam di kawasan berkenaan.

Katanya, beberapa individu terlibat sedang dikesan pihak berkuasa dan polis menasihatkan suspek tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, seorang anggota polis di BSI membuat laporan berhubung kejadian itu, pada 1.12 pagi, hari ini.

“Anggota polis terbabit menerima maklumat dari pusat kawalan BSI berhubung kejadian beberapa individu masuk ke negara ini secara haram melalui kawasan larangan berhampiran BSI.

“Hasil siasatan polis melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian terbabit berlaku pada Khamis lebih kurang jam 5.40 petang dan suspek terlibat terdiri daripada lima lelaki dan tiga perempuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut, boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07 2182323 atau Pegawai Penyiasat, Muhammad Nizam Ramon di talian 011 116086119,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyuarakan kebimbangan mengenai isu pencerobohan sempadan negara melalui lorong tikus untuk masuk ke negeri ini.

Beliau berkata, sempadan negara itu dibolosi sekumpulan individu tidak bertanggungjawab berhampiran Selat Tebrau, berdasarkan video yang tular semalam.

Katanya, pihak berkuasa sedang mengesan sekumpulan individu berkenaan yang memasuki negara ini mengikut laluan yang tidak sah.

“Berikutan itu, beberapa tindakan diambil pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian berulang. Polis turut mendirikan pos kawalan dan menempatkan anggota polis 24 jam di kawasan kejadian,” katanya menurut laporan Kosmo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.