
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mohd Mahidisham Ishak, berkata kedua-dua suspek yang merupakan dalang utama kes berkenaan ditangkap, di Jalan Bukit Bintang, 12.20 tengah hari, semalam.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang perunding kewangan, pada 10 Jun lalu, yang mendakwa ditipu ketika berurusan dengan kedua-dua suspek bagi mendapatkan dokumen ‘Standby Letter Of Credit’ bernilai USD250 juta dari bank di luar negara bagi perniagaan antarabangsa di Korea.
“Mangsa telah membuat bayaran tunai secara berperingkat pada 27 Feb dan 2 Mac lalu berjumlah keseluruhan RM629,000 kepada suspek lelaki bagi tujuan bayaran wang pemprosesan.
“Pada 4 Mac lalu, mangsa telah menerima emel dari pihak ketiga yang mengemukakan dokumen berkenaan urus niaga tersebut dan curiga dengan dokumen itu beliau telah membuat pengesahan di sebuah bank tempatan dan ia disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 20 Jun ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mahidisham turut menasihati orang ramai supaya membuat semakan dengan menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) di talian 1300 88 5465.