Syarikat selenggara eskalator layak dilantik, kata DBKL

Syarikat selenggara eskalator layak dilantik, kata DBKL

DBKL berkata, pemilihan syarikat itu bagi menjalankan kerja penggantian eskalator mempunyai kelayakan seperti diputuskan mesyuarat jawatankuasa sebut harga.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata, syarikat berkenaan dipilih setelah mengambil kira kelayakan, tawaran harga munasabah dan kedudukan kewangan mencukupi.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertahankan keputusan melantik syarikat untuk menjalankan kerja penggantian eskalator di jejantas stesen LRT Taman Sri Rampai berikutan dakwaan bahawa syarikat itu merupakan firma pakaian.

Katanya, proses tender berkenaan dibuka kepada kontraktor Bumiputera bermula 2 hingga 15 Apr.

“Syarikat itu dipilih berdasarkan tawaran harga munasabah dan kedudukan kewangan mencukupi melalui mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga.

“Ia juga mempunyai sijil perolehan kerja kerajaan daripada pihak CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) diakui Kementerian Pembangunan Usahawan serta sijil akuan Kementerian Kewangan di bawah kod bidang bersesuaian bagi melaksanakan kerja-kerja yang telah ditawarkan itu,” katanya dalam kenyataan.

DBKL berkata, Bossque Skyline Sdn Bhd turut mempunyai sijil kontraktor kerja taraf Bumiputera bagi Gred G2 Kategori B (pembinaan bangunan), Gred G2 Kategori CE (pembinaan kejuruteraan awam) dan Gred G2 (mekanikal dan elektrikal) yang membolehkan syarikat tersebut menjalankan kerja itu.

Eskalator di jejantas stesen LRT Sri Rampai sudah dibaik pulih dan berfungsi semula pada 15 Jun 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.