
Ismail berkata, beliau akan berjumpa dengan Zuraida terlebih dahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.
“Saya akan jumpa dia (Zuraida) minggu depan, ketika mesyuarat Kabinet minggu depan. Saya jumpa dia dulu, selepas itu baru saya jumpa (Jemaah Menteri).
“Semalam, dia datang mesyuarat Kabinet macam biasa, setakat ini kedudukan dia macam saya cakap sebelum ini selagi dia tidak digugurkan daripada jawatannya, dia masih kekal menteri perusahaan, perladangan dan komoditi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan projek MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.
Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), pada 26 Mei lalu.
Pada 1 Jun, Ismail berkata, Zuraida hanya keluar Bersatu, bukan berundur sebagai menteri susulan tuntutan parti itu yang mahukan jawatannya diisi oleh calon baharu daripada Bersatu.
Mengenai pilihan raya umum yang dikatakan akan diadakan selepas Bajet 2023, Ismail berkata, perkara itu tidak wajar diperdebatkan secara umum kerana ia akan menimbulkan ketidakstabilan politik.
“Tiada satu pun PM sebelum ini bincangkan tarikh PRU di khalayak ramai. Dahulu Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun, ketika dia masih dalam kerajaan BN, dia akan jawab, saya masih belum dapat ilham.
“Semua tak bincang PRU di khalayak ramai kerana ini akan timbulkan ketidakstabilan, yang pasti semakin hari tarikh PRU semakin hampir,” katanya.