
Katanya, keadaan itu berlaku terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua tahun lalu apabila banyak syarikat yang menggaji buruh asing terpaksa “gulung tikar”.
“Setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini wajib mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebelum PKP, jumlah sedia ada (buruh asing) adalah kira-kira 1.8 juta.
“Setahun ketika PKP yang saya anggap telah balik (ke negara asal) lebih kurang 700,000, tapi saya mungkin boleh silap, kerana mungkin daripada 700,000 ada yang tak balik lagi.
“Ini kerana kemungkinan syarikat tempat mereka bekerja dah gulung tikar tapi mereka tak balik (ke negara asal) dan bekerja pula di tempat lain dengan syarikatnya tidak membayar atau mencarum kepada Perkeso,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan forum nasional bertajuk “Migrasi Modal Insan dan Kesannya terhadap Sabah” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Saravanan berkata, dua pertiga pekerja asing yang didakwa tidak direkodkan di negara ini kemungkinan besar adalah PATI.
“Mana mungkin kita boleh mendaftar atau memasukkan pekerja asing dalam data kita jika dia tidak mencarum dalam Perkeso. Sebab itu saya katakan tadi, sebelum PKP ramai (pekerja asing) yang datang untuk mencari rezeki di negara ini untuk membantu keluarga mereka di kampung.
“Saya tidak tahu angka sebenar (pekerja asing) tetapi saya tidak menolak fakta itu (dakwaan data pekerja asing di negara ini mengelirukan),” katanya.
Terdahulu, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata, negara ini mempunyai data mengelirukan mengenai buruh dan pekerja asing.
Bercakap dalam satu forum, beliau mendedahkan, terdapat perbezaan antara perangkaan Malaysia untuk buruh asing dengan anggaran syarikat telekomunikasi.
“Mengikut anggaran syarikat telekomunikasi, terdapat kira-kira 6.7 juta (pekerja asing). Tetapi ketika itu, jika kita lihat data buruh, kita dapati jumlah tenaga buruh di Malaysia adalah 15 juta orang (daripada jumlah itu) 13 juta pekerja adalah warganegara, manakala 2.2 juta lagi adalah warga asing.
“Dengan kata lain, dua pertiga pekerja asing tidak direkodkan dan dikenali,” katanya.