Lesen senjata api hanya dibenarkan dalam kawasan pemilik, polis beritahu petani

Lesen senjata api hanya dibenarkan dalam kawasan pemilik, polis beritahu petani

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka tidak boleh menggunakan senjata api untuk memburu di luar sempadan yang dibenarkan.

Babi hutan bukan sahaja boleh merosakkan tanaman malah menyebabkan kemalangan jalan raya.
KUALA KANGSAR:
Petani yang mempunyai lesen senjata api dibenarkan menggunakannya untuk mengawal makhluk perosak yang boleh merosakkan tanaman tetapi mesti dilakukan dalam sempadan milik mereka, kata polis Perak.

Menjawab aduan daripada penanam padi, buah-buahan dan sayur-sayuran susulan populasi babi hutan yang meningkat ke tahap membimbangkan sejak lesen memburu digantung dua tahun lalu, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka tidak boleh menggunakan senjata api untuk memburu di luar sempadan yang dibenarkan.

“Makhluk perosak itu mestilah haiwan liar yang berbahaya kepada tanaman dalam kawasan milik mereka. Ia jelas menyalahi undang-undang jika menggunakan senjata api untuk menangani makhluk perosak di luar sempadan mereka,” katanya kepada FMT.

“Justeru, tiada isu mengenai penggunaan senjata api bagi mengelak kerosakan atau kemusnahan oleh haiwan perosak. Ini jelas dinyatakan dalam syarat pelesenan. Lesen senjata api untuk petani tidak pernah dikeluarkan untuk memburu.”

Mior Faridalathrash berkata, selain petani, jabatan yang berurusan dengan hidupan liar, seperti Perhilitan, Veterinar dan kerajaan tempatan, dibekalkan dengan lesen senjata api untuk membantu petani, penternak dan pekebun mengawal makhluk perosak.

Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai lesen senjata api supaya tidak menggunakannya untuk memburu atau mengawal haiwan liar dalam kawasan bukan milik mereka.

Ahad lalu, petani di Perak mendakwa populasi babi hutan telah meningkat dengan pemburu tidak dibenarkan menembaknya dan haiwan itu juga menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya di kawasan pedalaman.

Mereka mendakwa mengalami kerugian besar akibat kerosakan tanaman dan harta benda.

Ketika dimaklumkan mengenai jawapan daripada polis, penanam padi, Badaruddin Ghazalan, yang turut mengalami kerugian besar berkata, tidak semua petani mampu memiliki senjata api.

“Kami bergantung kepada mereka yang mempunyai lesen memburu untuk membantu kami menghalau haiwan liar sebelum menyerang ladang kami. Ini pastinya akan menyukarkan hidup kami,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Mior Faridalathrash mengeluarkan arahan kepada ketua polis daerah untuk meneruskan penggantungan lesen memburu, yang diperkenalkan pada 2020 bagi mencegah pemburuan haram dan penyalahgunaannya.

“Permohonan untuk mendapatkan lesen memburu tidak akan diterima sehingga diberitahu kelak,” katanya dalam arahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.