Kematian Teoh Beng Hock: Mahkamah Tinggi benar semakan kehakiman terhadap polis

Kematian Teoh Beng Hock: Mahkamah Tinggi benar semakan kehakiman terhadap polis

Semakan kehakiman itu dimohon agar polis menyelesaikan siasatan kes kematiannya, kata Ramkarpal Singh.

Keluarga Teoh Beng Hock memohon perintah supaya KPN menyelesaikan siasatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan keluarga Teoh Beng Hock memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap polis berhubung kematiannya.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili keluarga itu berkata, semakan kehakiman itu adalah supaya polis menyelesaikan siasatan kes kematiannya.

Bapa Teoh, Leong Hwee, 74, dan ibunya, Teng Shuw Hoi, 69, memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya ketua polis negara (KPN) menyelesaikan siasatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Kerajaan, KPN dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Jan.

Keluarga itu turut memohon beberapa perisytiharan, termasuk bahawa polis cuai dalam tugas mereka untuk menyelesaikan siasatan dalam tempoh yang munasabah.

Dalam afidavit sokongan semakan kehakiman itu, Teng berkata, polis gagal melengkapkan siasatan kematian Teoh walaupun keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada keluarga itu pada 2014.

Katanya, polis telah menubuhkan tiga pasukan petugas berasingan, iaitu pada 2011, 2014 dan 2018, untuk menyiasat kematian itu dan perkembangan terakhir mengenai siasatan itu dimaklumkan kepada mereka menerusi peguam tahun lepas.

Pada 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh perbuatan “seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali” termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoalnya semalaman sebelum Teoh ditemui mati.

Dalam penyelesaian di luar mahkamah, keluarga itu turut dianugerahkan ganti rugi RM600,000 kerana kecuaian.

Teoh, ketika itu merupakan pembantu politik ADUN DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang juga Exco Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Beliau telah ditahan semalaman dan disoal siasat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 menyatakan bahawa beliau terdorong untuk membunuh diri susulan soal siasat yang agresif oleh SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.