Hentikan ajaran Islam patriarkal, konservatif, kata SIS

Hentikan ajaran Islam patriarkal, konservatif, kata SIS

Pegawai program bantuan dan pemerkasaan SIS Nurhuda Ramli berkata, dialog terbuka mengenai Islam mesti diadakan bagi menyemai dan menyebarkan nilai-nilai yang lebih progresif.

Pegawai program Sisters in Islam Nurhuda Ramli berkata adalah penting untuk menurunkan ajaran Islam yang sebenar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia Sisters in Islam (SIS) menggesa sekolah-sekolah agama berhenti mengajar nilai-nilai Islam yang bersifat patriarkal dan konservatif.

Pegawai program bantuan dan pemerkasaan SIS, Nurhuda Ramli berkata, negara ini mesti mencari kekuatan untuk mengadakan dialog terbuka mengenai Islam bagi menyemai dan menyebarkan nilai-nilai yang lebih progresif.

“Kita mesti membincangkan Islamisasi dan kesannya terhadap masyarakat kita. Ini kerana projek-projek Islamisasi mengukuhkan naratif nilai patriarkal serta dogma keagamaan.

“Bagaimanapun kita tidak boleh mengharapkan perubahan berlaku sekiranya tidak mendakwahkan ajaran Islam sebenar, yang berasaskan nilai murni, hak asasi, keadilan dan kesaksamaan, bukan sekadar untuk kuasa,” katanya pada pelancaran kaji selidik SIS dan Merdeka Center terhadap belia Muslim Malaysia.

Memetik hasil kaji selidik itu, Nurhuda berkata daripada 1,216 responden, 43% agak bersetuju bahawa lelaki mampu menjadi pemimpin politik lebih baik berbanding wanita.

Katanya, ini mencadangkan pandangan bahawa kepemimpinan adalah eksklusif untuk lelaki masih diajar, yang tidak seiring ajaran al-Quran.

Mengulas lanjut, beliau berkata 44% responden sangat setuju seorang wanita tidak patut bekerja sekiranya dilarang suaminya, seterusnya menunjukkan masyarakat masih belum dapat mengetepikan naratif mengenai kepatuhan isteri.

“Wanita yang alim disalah tafsir sebagai wanita yang patuh sedangkan hakikatnya kepatuhan dan kealiman bukannya sesuatu yang saling berkait.”

Selain itu, katanya 60% responden turut menganggap seorang Muslimah patut membuat pilihan sendiri sama ada mahu berhijab, namun apabila disoal lanjut 72% menyifatkannya sebagai sesuatu yang wajib.

“Belia Muslim diajar bahawa berhijab adalah wajib. Ini naratif yang ada tanpa pandangan berbeza diberikan,” katanya.

Menurutnya nilai-nilai keagamaan yang bersifat konservatif dan patriarkal mengakibatkan cabaran untuk wanita beragama Islam dalam masyarakat.

Katanya, kefahaman mengenai nilai-nilai Islami progresif adalah penting untuk membantu negara lebih maju, selain wanita diberi lebih peluang dalam kehidupan dan kerjaya mereka.

Kaji selidik belia Muslim Malaysia itu dilakukan oleh SIS dan Merdeka Center antara lewat Oktober 2021 hingga Januari 2022. Ia melibatkan 1,216 belia beragama Islam di seluruh negara yang berusia antara 15 hingga 25 tahun.

Tujuannya adalah bagi menentukan kesejahteraan, pendidikan, keadaan ekonomi dan penglibatan sosiopolitik belia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.