
Menyifatkannya sebagai membuang masa, Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, beliau lebih suka melihat usaha sebegitu diterajui syarikat swasta, khususnya yang sudah aktif dalam industri agromakanan.
“GLC harus menyimpan modal dan kepakaran mereka untuk industri yang lebih canggih,” katanya kepada FMT.
Nambiar berkata, bukan semua GLC biasa dengan selok-belok rantaian bekalan dan memerlukan masa untuk membiasakan diri dengannya.

“Jika GLC perlu mempelajari butiran semua aspek di sepanjang rantaian bekalan mulai sekarang, (kita) akan kehilangan masa,” katanya.
Beliau berkata, lebih masuk akal bagi GLC untuk terlibat dalam penstrukturan semula sektor pertanian dengan menjadikannya lebih canggih.
“Mungkin itu adalah cara yang tepat GLC boleh campur tangan.”
Bagaimanapun, seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak, mendakwa penguasaan sektor swasta dalam industri pertanian makanan membawa kepada ketamakan dalam kalangan syarikat dan kewujudan kartel.
Beliau berkata, terdapat GLC yang berjaya, seperti Petronas dan Khazanah, yang menjadi peneraju dalam bidang masing-masing, dan GLC tersebut akan dapat menggunakan pengalaman dan kepakarannya untuk membantu mengembangkan rantaian bekalan ekosistem agromakanan negara.
Katanya lagi, GLC akan lebih berupaya mendapatkan tanah yang diperlukan untuk menjalankan pertanian secara meluas kerana hubungan kukuhnya dengan kerajaan dan sumber yang mencukupi.

Namun beliau mengakui terdapat risiko dalam menggalakkan GLC terlibat dalam rantaian bekalan pertanian makanan. Beliau terutamanya bersikap waspada terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
“Ini adalah satu cabaran. Projek nasional seperti ini menarik minat semua orang dan kita perlu pastikan tadbir urus kita baik,” katanya.
Kedua-duanya mengulas keputusan Majlis Tindakan Ekonomi pada Isnin untuk mengembangkan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan yang diterajui oleh GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan.