‘Jangan hisap gam’ nasihat baik buat saya, kata Peja

‘Jangan hisap gam’ nasihat baik buat saya, kata Peja

Menteri belia dan sukan itu menyifatkan mesej tertera pada kain rentang digantung penyokong Harimau Malaya di stadium malam tadi sebagai nasihat berguna.

Kain rentang yang tertera perkataan ‘Peja jgn sap gam!!!’ (Peja jangan hisap gam) mencuri tumpuan peminat lain yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menerima baik pesanan supaya “tidak menghisap gam” yang tertera pada kain rentang yang digantung oleh penyokong Harimau Malaya di stadium.

Faizal turut berterima kasih dengan pesanan tersebut dan menyifatkan mesej yang ditujukan kepada beliau itu sebagai satu bentuk nasihat berguna.

“Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua! Terima kasih! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita,” katanya di Twitter bersama gambar yang tular di media sosial itu.

Kain rentang yang tertera perkataan “Peja jgn sap gam!!!” (Peja jangan hisap gam) itu sekali gus mencuri tumpuan peminat lain yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Tindakan penyokong itu adalah susulan kenyataan Faizal sebelum ini yang dilaporkan berkata, faktor luaran seperti sorakan 63,000 penonton menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan turut menjadi punca pasukan itu tewas di tangan Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2023, Sabtu lalu.

Beliau kemudian mengemukakan permohonan maaf serta mendakwa kenyataannya itu disalahertikan.

Pada aksi malam tadi, skuad negara bimbingan Kim Pan-gon menamatkan penantian selama 43 tahun apabila mengesahkan slot ke Piala Asia tahun depan selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.