Mengapa 15 pegawai tinggi kerajaan belum isytihar harta, Kit Siang tanya PM

Mengapa 15 pegawai tinggi kerajaan belum isytihar harta, Kit Siang tanya PM

Veteran DAP itu berkata, sembilan bulan sudah berlalu sejak menteri dan timbalan menteri berkenaan memegang jawatan mereka.

Lim Kit Siang mengkritik perdana menteri kerana tidak menggalas pimpinan dalam perang melawan rasuah ‘walaupun Yang di-Pertuan Agong menggesa semua pihak berbuat demikian’.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa 15 individu yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan belum mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Lim berkata, sembilan bulan sudah berlalu sejak mereka memegang jawatan.

Katanya, mereka termasuk enam individu yang diberikan jawatan bertaraf menteri seperti penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri, duta khas perdana menteri serta Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin Yassin.

Selain itu, dua menteri dan tujuh timbalan menteri belum mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

“Lebih buruk lagi, Kabinet Ismail Sabri tidak menunjukkan tauladan akauntabiliti, ketelusan dan integriti awam,” katanya dalam kenyataan.

Penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri ialah Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman dan duta khas perdana menteri, Abdul Hadi Awang (Timur Tengah), Tiong King Sing (China), Richard Riot (Asia Timur) dan SA Vigneswaran (Asia Selatan).

Lim mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak menggalas pimpinan dalam perang melawan rasuah sedangkan Yang di-Pertuan Agong menggesa semua pihak berbuat demikian.

Beliau berkata, Ismail dilihat tidak menunjukkan kerunsingan terhadap prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah dan menjangkakan negara berkemungkinan besar mencatatkan kedudukan dan markah terburuk tahun depan.

“Saya telah cadangkan supaya Parlimen memulakan satu kempen anti-rasuah baharu dalam sidang Parlimen yang akan datang bermula 18 Julai. Adakah Ismail Sabri bersetuju dengan cadangan ini?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.