
Ini menyusul keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan semakan V Sathya kerana melanggar keadilan asasi dan mengetepikan penghakiman pada 8 Feb 2022 yang mengesahkan hukuman matinya.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata, permohonan di bawah Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 itu dibenarkan.
Beliau yang bersidang bersama hakim Zawawi Salleh dan Zabidin Mohd Diah berkata, ambang semakan adalah tinggi dan Sathya memenuhi syarat itu.
“Salah satu alasan yang dibangkitkan pemohon ialah terdapat pelanggaran keadilan asasi,” katanya dengan menambah bahawa panel tiga hakim yang bersidang pada 8 Feb lalu menyimpang daripada keputusan awal mahkamah itu.
Beliau berkata, panel semasa menggunakan budi bicaranya untuk memastikan kejelasan dalam undang-undang jenayah, khasnya membabitkan kes pengedaran dadah.
“Penghakiman pada 8 Feb diketepikan. Rayuan akan ditetapkan untuk perbicaraan semula,” katanya ketika menyampaikan keputusan dalam mahkamah yang dipenuhi peguam.
Sathya, 30, diwakili 15 peguam, yang diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik kerana keseriusan isu berhubung perbicaraan dan rayuan yang belum selesai bagi kes penyeludupan.
Peguam Chan Hen Hui bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam.
Hisyam hari ini berhujah bahawa panel hakim pada 8 Feb menyimpang daripada dua keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 13 Nov 2019 dan 1 Nov 2021, bahawa tertuduh mesti dimaklumkan sama ada mereka perlu membela diri atas anggapan atau penyeludupan sebenar.
Bagaimanapun tiada alasan bertulis disediakan dan Hisyam berhujah bahawa tiada orang boleh diletakkan dalam kedudukan itu kerana Mahkamah Persekutuan tidak menyediakan penghakiman bertulis.
“Tertuduh dinafikan haknya dalam Perlembagaan untuk mendapat perlindungan sama rata di bawah undang-undang.”
Sri Ram berkata, keputusan pada 8 Feb lalu mengembalikan penggunaan anggapan berganda walaupun ia tidak dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.
Undang-undang tidak membenarkan mahkamah atau pihak pendakwaan menggunakan anggapan berganda terhadap tertuduh dalam kes pengedaran dadah.
Ini bermakna anggapan memiliki dan dianggap menyeludup tidak boleh dipercayai.
“Mahkamah Persekutuan (pada 8 Feb) menggunakan dua anggapan untuk menyabitkan pemohon (Sathya) yang tidak dibenarkan disebabkan keputusan dalam kes Muhammed Hassan lwn Pendakwa Raya pada 1998.”
Katanya, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Sathya dengan menggunakan anggapan berganda tanpa memberinya peluang untuk berhujah sama ada kes Muhammed Hassan masih merupakan keputusan baik.
Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar berhujah bahawa semakan itu perlu ditolak kerana mahkamah membuat keputusan betul untuk menyabitkan Sathya.
Sathya, yang ketika itu mengikuti pengajian pengurusan risiko di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, didakwa bersama teman wanitanya atas tuduhan mengedar 1.8kg dan 2.2kg methamphetamine atau syabu, yang disembunyikan dalam dua bagasi.
Kesalahan itu dilakukan di terminal penerbangan tambang rendah ketika itu berhampiran KLIA pada 26 Sept 2013.
Teman wanitanya dibebaskan pada penutupan kes pembelaan, manakala Sathya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati pada 27 Nov 2017. Mahkamah Rayuan turut menolak rayuannya.