
Beliau berkata, pembalakan berlaku sejak sekian lama memandangkan ia adalah sebahagian hasil kerajaan negeri.
“Walaupun pembalakan dibenarkan, namun ia terikat dengan peraturan dan tidak boleh melebihi catuan tebangan tahunan yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.
“Syarikat yang melakukan aktiviti pembalakan ini perlu mematuhi peraturan, iaitu kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Semua yang kita lakukan di HSK Nenggiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan Kelantan juga tidak pernah membuat tebangan balak melebihi catuan tebangan tahunan yang ditetapkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Amar berkata, pembalakan tidak perlu diperbesarkan kerana ia bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak sekian lama dan menjadi pendapatan kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri tidak menafikan berlaku kecurian balak di Kelantan, namun perkara itu akan disiasat oleh Jabatan Perhutanan sekiranya mendapat laporan.
“Isu curi balak bukan sahaja berlaku di Kelantan, sebaliknya di semua negeri. Jika ada laporan kecurian, kita akan siasat dan ambil tindakan.
“Bila berlaku kecurian, tidak patut menteri besar atau kerajaan negeri yang dipersalahkan. Sebagai contoh anak yang mencuri, takkan kita boleh kata ayahnya yang salah, sedangkan anak yang mencuri. Begitu juga dengan isu curi balak,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Husam Musa yang juga bekas exco negeri mendedahkan kompartmen 26 di HSK Nenggiri diwartakan sebagai hutan dara perlindungan, namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Daulah Najah Sdn Bhd.
Beliau turut mendakwa, wujud kes “kecurian” balak di kawasan bersebelahan, iaitu kompartmen 25, yang membabitkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.
Mengulas mengenai insiden kecurian di kompartmen 25, Amar berkata, pihaknya difahamkan Jabatan Perhutanan sudah menyita balak terbabit untuk siasatan lanjut.