Beri insentif kepada pusat jagaan kanak-kanak untuk daftar, saran aktivis

Beri insentif kepada pusat jagaan kanak-kanak untuk daftar, saran aktivis

Antara insentif yang dicadangkan adalah pengecualian cukai dan latihan.

Sebanyak 1,028 pusat jagaan kanak-kanak swasta masih tidak berdaftar walaupun menerima amaran daripada pihak berkuasa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak kanak-kanak menggesa kerajaan menawarkan insentif untuk pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak tidak sah bagi membolehkan penambahbaikan dalam pengawalseliaan industri itu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana James Nayagam berkata, banyak pusat jagaan kanak-kanak enggan memohon lesen kerana syaratnya terlalu ketat.

“Ramai khuatir ia akan mengambil masa terlalu lama,” katanya kepada FMT.

“Mereka perlu diyakinkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa langkah mengikuti garis panduan yang ditetapkan akan memastikan kanak-kanak selamat.

“Insentif seperti pengecualian cukai dan latihan harus diberikan kepada pemilik pusat-pusat ini supaya mereka tampil mendaftar.”

Pada Sabtu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dilaporkan berkata, sebanyak 1,028 pusat jagaan kanak-kanak swasta masih tidak berdaftar walaupun menerima amaran daripada pihak berkuasa.

Nayagam berkata, ibu bapa perlu berwaspada apabila menghantar anak-anak ke pusat jagaan seperti ini kerana ia boleh membahayakan mereka.

“Ibu bapa tidak sedar mengenai peraturan terbabit. Pusat jagaan kanak-kanak perlu mematuhi piawaian minimum seperti kebersihan, pencegahan kebakaran dan keselamatan bangunan.

“Kamera CCTV juga diperlukan di pusat-pusat itu kerana ia boleh mencegah penderaan kanak-kanak.

“Banyak perkara boleh berlaku jika tiada pengawasan oleh kerajaan.

“Kerajaan harus menganjurkan jerayawara untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi peraturan ini,” katanya.

Nayagam mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat sehenti yang diterajui wakil NGO untuk membantu mendaftarkan pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, NGO dengan senang hati akan membantu pemilik pusat penjagaan berkait permohonan itu dan mengadakan pertemuan dengan kerajaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai pematuhan keselamatan.

“Ini akan menggalakkan pusat jagaan kanak-kanak tampil dan adalah lebih berkesan berbanding mengumumkan langkah yang lebih ketat, pembatalan pendaftaran, penalti atau tindakan undang-undang,” katanya.

Perunding perlindungan kanak-kanak Vijayakumari Pillai berkata, masalahnya terletak pada majlis tempatan di kebanyakan daerah.

“Kementerian mesti mengarahkan semua majlis tempatan untuk menyeragamkan syarat,” katanya.

“Di beberapa daerah di Semenanjung, pusat jagaan perlu membayar taksiran pada kadar komersial.”

Beliau juga berkata, JKM memerlukan lebih ramai pegawai untuk memantau dan menyelia pusat-pusat ini.

Katanya, ibu bapa perlu menyemak di laman sesawang jabatan itu sama ada pusat jagaan kanak-kanak tertentu berdaftar atau sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.