
ADUN Perling Liew Chin Tong berkata, penetapan cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad diharap dapat menyelaraskan perbezaan cuti antara kakitangan sektor awam dan swasta yang mempunyai waktu terhad untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Beliau berkata, sokongan dwipartisan itu diharap dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih baik khususnya bagi menarik pelaburan sekali gus memberi kesan positif dalam usaha memulihkan ekonomi Johor dalam fasa peralihan ke endemik.
“Ini akan memberi nilai tambah kepada kehidupan warga Johor yang seimbang dan lebih baik serta memberi impak positif kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti pekerja,” katanya yang juga ketua pembangkang DUN Johor dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada Jumaat dan Sabtu.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan setelah pihaknya mendapat kaedah pelaksanaannya yang tuntas.
Cuti minggu negeri Johor kini berkuat kuasa pada 1 Jan 2014 susulan keputusan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan pertukaran cuti itu kepada hari Jumaat dan Sabtu.