
Dalam dokumen yang dilihat FMT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan terdapat 11.37 juta kenderaan tidak aktif daripada 33.08 juta kenderaan berdaftar di seluruh negara.
“JPJ menganggarkan terdapat 21,709,492 juta kenderaan aktif di negara ini sehingga September tahun lalu,” kata pegawai kanan JPJ yang enggan dikenali.
Sejak 2019, rekod JPJ menunjukkan bilangan kenderaan yang baru didaftar meningkat satu juta setiap tahun.
Sumber itu berkata, memandangkan tiada polisi jangka hayat kenderaan, “Ia adalah satu proses yang rumit bagi JPJ untuk mengenal pasti kenderaan yang tidak aktif dan mengeluarkan “sijil kematian” bagi kenderaan yang usang “melainkan diisytiharkan oleh pemilik kenderaan, yang jarang berlaku.”
“JPJ menggunakan formula umum pengurangan 10% setiap tahun bagi kenderaan tidak aktif atau susut,” kata sumber itu. “Sekiranya cukai jalan tidak diperbaharui selepas tiga tahun, ia dianggap tidak aktif.”
Difahamkan, ketiadaan garis panduan jelas untuk menentukan tempoh bagi kenderaan berdaftar yang dianggap terbiar atau tidak aktif, dan proses mudah untuk mendaftarkan semula kenderaan, telah menimbulkan kesukaran kepada JPJ dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sehingga kini, ia juga tidak jelas sama ada JPJ akan mengklasifikasikan sebagai kenderaan usang yang disifatkan sebagai musnah sepenuhnya dalam kemalangan jalan raya.
Seorang ketua pengarah JPJ yang telah bersara mengakui, terdapat peningkatan jumlah kenderaan tidak aktif di seluruh negara dan beliau mencadangkan kerajaan menjalankan kajian secara menyeluruh.
“Terdapat ramai pemilik kenderaan yang meninggal dunia. Perlu ada kaji selidik dengan sampel yang besar,” katanya.
Manakala bekas pengarah bahagian kejuruteraan automotif JPJ, Mohamad Dalib telah mempertahankan jabatan itu untuk pengumpulan data kenderaan yang kelihatan mengelirukan.
“Tidak adil untuk menuding jari kepada JPJ. Kita telah berusaha keras untuk menyusun data selama ini,” kata Mohamad yang memulakan kerjayanya dengan JPJ pada 1982.
“Orang ramai tidak sedar bahawa usaha untuk memusatkan pendaftaran pangkalan data kenderaan bermula pada 1990 selepas bertahun-tahun diasingkan.