RM5.1 bilion aset lucuthak berkait 1MDB pulang ke Malaysia

RM5.1 bilion aset lucuthak berkait 1MDB pulang ke Malaysia

SPRM berkata 152 kes pelucuthakan harta dikendalikan di mahkamah dengan 121 daripadanya selesai.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata 99.57% berhubung pelucutan harta kembali kepada kerajaan Malaysia membabitkan 1MDB. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Jumlah asset dilucuthak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia tahun lalu berjumlah hampir RM5.1 billion, dengan 99.57% daripadanya berkaitan 1MDB, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata, siasatan SPRM juga telah membawa 152 kes pelucuthakan harta dikendalikan di mahkamah dengan 121 daripadanya selesai.

“117 kes atau 96.7% memihak kepada pendakwa raya dan empat kes, atau 2.2% tidak memihak kepada pendakwa raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM.

Azam berkata, SPRM bertanggungjawab meneliti dan menyiasat sebarang aduan, meskipun dakwaan rasuah hanya membabitkan jumlah kecil.

Beliau berkata, sekiranya didapati ada sebab munasabah menunjukkan berlakunya kesalahan mengikut bidang kuasa SPRM, kertas siasatan akan dibuka dan setelah selesai siasatan, ia akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Meskipun pemberian izin untuk mendakwa adalah bergantung kepada budi bicara mutlak peguam negara, kekuatan bukti hasil siasatan SPRM membantu dalam keputusan tersebut,” katanya.

Azam berkata, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan dan tidak boleh membuka kertas siasatan hanya daripada maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial, terutama sekali mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu.

“Jika siasatan kami atas tuduhan atau dakwaan yang sedemikian, kertas siasatan kami tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti yang teguh.

“Nescaya ia akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu ia tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah sekalipun,” katanya.

Beliau berkata, SPRM sentiasa mengikuti SOP yang diperuntukkan berhubung siasatan kes dan akan meneliti mana-mana dakwaan dan aduan sebelum membuka sesuatu kertas siasatan.

“Sekiranya, tidak ada atau tidak cukup bukti kertas siasatan akan ditutup. Amalan ini adalah untuk memastikan seseorang yang tidak bersalah tidak dianiayai dan yang tertuduh mendapat ruang dan peluang pembelaannya di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, bermula 2000, SPRM mula bergerak ke arah kaedah risikan dan penyiasatan proaktif iaitu kaedah ‘penyiasatan berdasarkan risikan ke atas kes berprofil tinggi’ dalam siasatan.

“Proses ini memerlukan analisis mendalam terhadap suspek-suspek tertentu, sebelum kita membuat penyiasatan sebenar. Walaupun kaedah ini memakan masa, namun impaknya adalah tinggi,” katanya.

Antara kes yang berjaya didedahkan SPRM hasil kaedah risikan dan penyiasatan proaktif itu adalah kes terjumpanya wang dalam sekitar RM53 juta tunai daripada seorang pegawai kerajaan, dalam satu operasi dikenali “Ops Water”, pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.