
Berita pemergian Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman, pada jam 2.19 petang itu, disahkan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.
Nor berkata, doktor mengesahkan bapanya mempunyai penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
“Kami reda atas pemergian arwah. Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, jenazah arwah masih berada di hospital untuk melalui beberapa prosedur.
“Saya dan adik-beradik tak dapat menjangkakan bila pengebumian akan dilaksanakan. Mungkin hari ini atau esok, tetapi kami berharap urusan pengebumian dapat dipercepatkan,” katanya.
Khamis lalu, Nor menafikan bapanya dalam keadaan tenat sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Bagaimanapun, Nor memaklumkan, bapanya yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978, dalam keadaan stabil dan terkawal selepas dirawat di hospital selepas mengalami batuk teruk.
Hamid dan Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad, pada April 1957.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.