Ongkili ketuai kumpulan pakar perundangan cari rujukan berkait MA63 di London

Ongkili ketuai kumpulan pakar perundangan cari rujukan berkait MA63 di London

Kumpulan turut disertai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri dijadual berlepas 19 Jun ini dan akan berada di London selama seminggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili berkata, kajian awal menunjukkan lebih 300 dokumen merujuk kepada hak negeri dan perkara berkaitan MA63 tersimpan di Arkib Nasional, London.
KOTA KINABALU:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili akan mengetuai kumpulan pakar perundangan dan pengkaji untuk mencari rujukan berkaitan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London.

Ongkili berkata, kumpulan turut disertai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri dijadual berlepas pada 19 Jun ini dan akan berada di London untuk melaksanakan tugasan berkenaan selama seminggu.

Katanya, kajian awal menunjukkan lebih 300 dokumen yang merujuk kepada hak negeri dan perkara berkaitan dengan MA63 tersimpan di Arkib Nasional, London.

“Wujud banyak salah faham, jadi inilah masanya untuk membetulkan rekod mengenai MA63. Ini kerana MA63 bukan sekadar satu perjanjian, jadi kita perlukan semua fakta dan angka untuk membolehkan kita membuat tuntutan yang menjadi hak kita,” katanya dalam kenyataan.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, usaha dilakukan itu sangat penting bagi memastikan hak Sabah dan rakyatnya dilindungi.

Katanya, kerajaan Sarawak juga melakukan perkara sama enam tahun lalu.

“Akhirnya kita dapat melihat dokumen rahsia ini selepas ia tidak lagi diklasifikasikan sedemikian di Arkib Nasional, London.

“Kita berharap dapat gambaran yang lebih baik apa yang berlaku sebelum kemerdekaan kita pada 1963,” katanya.

Antara menyertai kumpulan berkenaan ialah Peguam Besar Sabah Nor Asiah Mohd Yusof dan Utusan Khas Sabah ke Kawasan Pertumbuhan Asean Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) Pandikar Amin Mulia, selain pegawai Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.