Lelaki maut tersepit antara 2 ‘steamroll’

Lelaki maut tersepit antara 2 ‘steamroll’

Mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran dikatakan datang ke kawasan jentera berat itu dan bersembang dengan pekerja penurapan.

Wan Endok Wan Salleh, 59, meninggal dunia di lokasi susulan kecederaan parah di dada dan badan selepas tersepit antara dua jentera penurap jalan di Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut selepas tersepit antara dua jentera penurap jalan di Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian 10.45 pagi mangsa, Wan Endok Wan Salleh, 59, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, berkata sebelum kejadian terdapat tiga jentera penurap jalan diletakkan di tepi jalan untuk digunakan bagi kerja penurapan di situ.

Katanya, mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran dikatakan datang ke kawasan jentera berada dan bersembang dengan pekerja penurapan itu.

“Ketika mangsa sedang bersembang, seorang pekerja menghidupkan sebuah jentera untuk memulakan tugas dan cuba mengundurkan jentera itu.

“Bagaimanapun, jentera terbabit terlanggar jentera yang berada di tengah-tengah, sekali gus menyebabkan ia bergerak ke belakang dan melanggar sebuah lagi jentera. Mangsa didakwa berdiri di tengah, antara dua jentera berkenaan dan telah tersepit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, hentakan kuat menyebabkan mangsa cedera di dada dan badan, manakala mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.