
Tinjauan dilakukan agensi penyelesaian sumber manusia Randstad mendapati sembilan daripada 10 responden “membuat keputusan sendiri” untuk meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan mereka.
Kira-kira 44% daripada mereka menggunakan slot masa yang fleksibel manakala 33% bekerja dari jauh dengan lebih kerap. Sementara itu, 23% pula berkata mereka kurangkan waktu bekerja lebih masa untuk memastikan keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik.
Walaupun 70% responden menyatakan keseimbangan kerja-kehidupan sebagai antara faktor utama bagi pekerjaan ideal, namun 74% responden berkata gaji dan faedah yang menarik juga penting bagi mereka.
Tinjauan yang dijalankan pada Januari itu melibatkan lebih 2,500 rakyat Malaysia.
Pengarah Randstad Malaysia Fahad Naeem, berkata perniagaan giat mengambil bakat baharu untuk meningkatkan operasi sebagai sebahagian daripada pemulihan Covid-19 mereka dan ia memberi peluang kepada pencari kerja merunding gaji lebih tinggi dan faedah lebih baik.
“Penting bagi pemimpin perniagaan dan sumber manusia untuk bersaing dengan jangkaan bakat yang berkembang. Ramai rakyat Malaysia bimbang dengan peningkatan inflasi dan kos sara hidup.
“Jika gaji mereka tidak sepadan dengan keperluan, pekerja akan mencari pekerjaan dengan syarikat lain yang mampu memenuhi jangkaan mereka untuk mengekalkan kualiti kehidupan mereka,” kata Fahad.
Beliau berkata, rakyat mengutamakan fleksibiliti kerja “lebih daripada sebelum ini”, sambil menambah ini amat membantu untuk ibu bapa yang bekerja.
“Jika majikan mereka tidak menawarkan fleksibiliti kerja yang dimahukan, kemungkinan besar mereka akan mencari syarikat yang menawarkan kerja secara hibrid atau fleksibel.”
Tinjauan itu turut mendapati rakyat mahu faedah lebih besar dari segi penjagaan kesihatan dan penjagaan kesihatan mental, berikutan pandemik yang berlaku menunjukkan terdapat keperluan untuk kedua-duanya.
Walaupun 85% responden mahu majikan menawarkan peluang meningkatkan kemahiran untuk pertumbuhan profesional dan peribadi, hanya 59% berkata mereka mempunyai prospek sedemikian pada masa ini.