
Menurut LHDN, entiti ini yang melibatkan hampir 24,000 individu, dikenal pasti berdasarkan pemilikan harta dan keupayaan mereka untuk mendapatkan pinjaman dan sekuriti bernilai RM500,000 dan ke atas.
“Kehilangan cukai oleh kerajaan dianggarkan sebanyak RM665 juta. Jumlah ini besar dan boleh memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara jika tidak ditangani segera,” katanya dalam kenyataan.
Agensi itu menasihatkan 31,598 entiti terbabit, khususnya 23,751 individu untuk hadir secara sukarela di cawangan LHDN terdekat untuk mendaftarkan fail cukai pendapatan dan mengisytiharkan pendapatan mereka.
“Mereka akan diberi tempoh penangguhan selama sebulan dari 15 Jun hingga 15 Julai,” katanya.
Katanya, selepas tempoh itu tamat, ia akan menjalankan siasatan sivil dan jenayah serta menguatkuasakan audit cukai terhadap mereka yang gagal memfailkan borang pengisytiharan cukai.
“Siasatan jenayah akan menyebabkan pertuduhan difailkan di mahkamah di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana mengelak cukai,” katanya.