
“Pewartaannya berlaku pada tahun 2020, bukan sekarang saya yang minta ditangguhkan untuk membolehkan mereka selesaikan masalah.
“Sekiranya kita tidak dapat menyelesaikan masalah, kita kena ikut proses undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Jubli Emas Kuala Lumpur di Taman Botani Perdana.
Menjawab kenyataan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, bahawa beliau akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa wujud isu rasuah dalam kes itu, Shahidan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dan bersifat terbuka.
“Kita tiada masalah, kita terbuka dalam hal ini,” katanya sambil memaklumkan bahawa satu kenyataan akan dibuat dalam masa terdekat berhubung isu pewartaan tanah Kampung Sungai Baru.
Terdahulu, penduduk di Kampung Sungai Baru menggesa campur tangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.
Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah, pada 12 Jun, dilaporkan berkata, pihaknya akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada peguam untuk mengkaji isu tersebut dari sudut perundangan, sekali gus menghalang serta mencabar keputusan pewartaan itu.