
N Sivananthan berkata, Arul Kanda kekal dengan keterangan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika siasatan dimulakan ke atas dakwaan “meminda” laporan audit 1MDB pada 2018.
“Pendiriannya ialah beliau bersedia untuk memberi (keterangannya) dan beliau kekal dengan apa yang diberitahunya kepada SPRM,” katanya ketika ditanya hakim Zaini Mazlan mengenai pendirian Arul Kanda.
Zaini kemudian berkata: “Dalam bahasa Inggeris mudah difahami, ia bermakna ya,” yang disusuli gelak tawa daripada galeri awam.
Pihak pendakwaan berkata, ia mahu memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi pihak mereka kerana beliau “mempunyai maklumat yang menjurus kepada pertuduhan dikenakan terhadap Najib berhubung mesyuarat pada 24 Feb 2016 dan perkara yang berlaku sebelum dan selepas itu”.
Najib sedang dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Arul Kanda turut didakwa bersubahat dengan Najib dalam kes ini.
Sementara itu, pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, keterangan Arul Kanda “relevan kerana kita perlu membuktikan niat rasuah (Najib)”.
Tetapi, peguam Najib, Shafee Abdullah membantah cubaan pihak pendakwaan memanggil Arul Kanda dengan berkata, ia sepatutnya berbuat demikian ketika perbicaraan bermula pada 2019.
Beliau mendakwa pihak pendakwaan “keterlaluan dalam kesungguhan” mereka memastikan sabitan terhadap najib.
Zaini berkata, beliau akan membuat keputusan pada 24 Jun ini, sama ada membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda.
“Jika dia (Arul Kanda) dipanggil atau permohonan ini ditolak, bersiap sedia untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, mereka bersedia memanggil pegawai penyiasat SPRM yang menyoal siasat Arul Kanda, jika mahkamah menolak permohonan itu.
Jasmine Cheong turut mewakili Arul Kanda.