
“Kenapa rakyat tidak dimaklumkan tentang permintaan lanjutan masa oleh ketiga-tiga jawatankuasa yang berasingan ini, sebelum tamatnya tempoh asal diberi yang tamat pada 29 April 2022?” soal Haniff Khatri Abdulla hari ini, susulan kerajaan mengumumkan laporan penuh tiga pasukan khas itu akan siap pada Ogos.
Haniff turut mempertikaikan punca kelewatan yang diberikan oleh kerajaan. Selain itu, beliau menyoal sama ada kerajaan yakin laporan berkenaan akan dapat disiapkan pada Ogos atau “akan menjadi satu rantaian lanjutan yang berpanjangan”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar terdahulu hari ini berkata, pasukan khas berkenaan meminta lanjutan masa untuk memperhalusi dan meneliti dengan terperinci laporan berkenaan.
Mereka pada awalnya diberi tempoh enam bulan untuk mengkaji tiga kes itu sejak dilantik pada Disember lalu, dan telah melaporkan hasil dapatan kepada Jemaah Menteri selepas tiga bulan melaksanakan kajian, katanya.