Laporan kematian Adib, Pulau Batu Puteh, dakwaan Tommy Thomas, diketahui Ogos kata Wan Junaidi

Laporan kematian Adib, Pulau Batu Puteh, dakwaan Tommy Thomas, diketahui Ogos kata Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, tempoh lanjut diperlukan bagi kerja penterjemahan berikutan ada laporan ditulis dalam bahasa Inggeris.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan terbabit memerlukan sedikit masa berikutan pihak jawatankuasa siasatan juga berdepan masalah saksi dan perolehan dokumen.
PUTRAJAYA:
Laporan penuh kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Pulau Batu Puteh dan dakwaan serta siasatan terhadap dakwaan Tommy Thomas dalam buku dihasilkan bekas peguam negara itu, akan diketahui pada Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan itu akan dikeluarkan oleh pasukan khas yang menjalankan siasatan dan kajian berhubung kes-kes berkenaan.

“Kita sudah memberi tempoh enam bulan sejak mereka dilantik pada penghujung Disember lalu untuk mengkaji tiga kes itu. Jawatankuasa terbabit ada melaporkan kepada Jemaah Menteri selepas tiga bulan melaksanakan kajian.

“Jawatankuasa meminta supaya tempoh disambung lagi untuk mereka memperhalusi dan meneliti dengan terperinci laporan terbabit,” katanya pada sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan, tempoh lanjut diperlukan bagi kerja penterjemahan berikutan ada laporan ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai kepakaran menterjemah dalam pelbagai bidang, demi memastikan tiada kesalahan yang berlaku apabila penterjemahan selesai dilaksanakan,” katanya.

Wan Junaidi berkata laporan terbabit memerlukan sedikit masa berikutan pihak jawatankuasa siasatan juga berdepan masalah saksi dan perolehan dokumen.

“Kita juga menggunakan semua kepakaran di dalam dan luar negara. Sebagai contoh bagi siasatan kes Pulau Batu Puteh, kita ada menggunakan khidmat pakar dari The Hague, Belanda, dan England. Kita sepatutnya boleh mendapat laporan menjelang Ogos depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.