
Bot yang dipercayai sudah mengaut sekurang-kurangnya tiga tan hasil laut di sekitar perairan negara itu berjaya ditahan susulan kejadian jam 12 tengah hari, Sabtu lalu.
Pengarah Zon Maritim Kudat Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan asing terbabit dikesan pasukan operasi ketika dipercayai sedang leka mengaut hasil laut negara di kedudukan lebih kurang 118 batu nautika barat laut dari Tanjung Simpang Mengayau, di sini.
“Semasa proses penahanan dan penangkapan, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM (Kapal Maritim) Arau sehingga berlakunya kerosakan.
“Walaupun bot KM Arau turut mengalami kerosakan kecil namun usaha penahanan berjaya dilakukan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Maurice berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati terdapat 41 anak kapal termasuk tekong berusia 18 hingga 58 tahun, kesemuanya warga Vietnam.
Katanya, pemeriksaan mendapati bot nelayan asing berkenaan beroperasi di perairan negara secara haram apabila gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.
“Selain itu, pasukan operasi turut mendapati sebanyak tiga tan hasil laut yang ditemui di dalam bot berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, bot berkenaan menggunakan modus operasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk berkenaan,” katanya.
Maurice berkata, bot nelayan asing berkenaan disyaki bot induk berdasarkan kepada bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa.
Bagaimanapun, katanya, siasatan akan diteruskan bagi tujuan pengesahan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Bot, kru dan semua hasil laut seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya.