BNM kena wajibkan bank komersial tubuh unit bantuan penipuan kewangan, kata PKR

BNM kena wajibkan bank komersial tubuh unit bantuan penipuan kewangan, kata PKR

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata, unit itu perlu menetapkan KPI yang ketat ke atas pengendalian aduan pelanggan, tempoh respon, serta bantuan sepanjang siasatan.

Kes penipuan kewangan melalui perkhidmatan perbankan internet dan ‘mobile’ telah sampai ke satu tahap yang amat membimbangkan di negara ini, kata Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung. (Gambar Facebook Lee Chean Chung)
PETALING JAYA:
Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mewajibkan bank komersial, termasuk bank digital dan e-dompet menubuhkan unit bantuan penipuan kewangan.

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung, berkata unit itu perlu menetapkan indeks prestasi utama (KPI) yang ketat ke atas pengendalian aduan pelanggan, tempoh respon, serta bantuan sepanjang siasatan.

“Perhubungan dengan pengadu adalah amat penting kerana mereka tidak dapat menghubungi pihak yang dapat membantu mereka.

“Kes-kes penipuan kewangan melalui perkhidmatan perbankan internet dan ‘mobile’ telah sampai ke satu tahap yang amat membimbangkan di negara kita.

“Kebanyakan penipuan ini dilakukan oleh sindiket berkemahiran tinggi dan berpengalaman. Mereka bukan sahaja menguasai modus operandi penipuan yang canggih, tetapi juga memahami kelompongan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Lee berkata, PKR juga mengesyorkan supaya BNM memudahcarakan mekanisme dan tempoh pampasan supaya bank komersial juga mengambil tanggungjawab sepadan dengan pulangan mereka.

Selain itu, katanya, BNM perlu mengambil inisiatif untuk menaiktarafkan mesyuarat penyelarasan dengan polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Kewangan serta agensi lain kepada pasukan khas supaya isu-isu ini dapat ditangani secara holistik.

“Kami juga mengesyorkan BNM memulakan perbincangan dengan peguam negara untuk menyemak semula kesesuaian akta-akta mengikut keperluan semasa supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan lebih cekap, dan pengguna dapat dilindungi secara lebih menyeluruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.