Suami isteri maut, anak menantu cedera kenderaan jatuh gaung

Suami isteri maut, anak menantu cedera kenderaan jatuh gaung

Mangsa yang maut ialah pesara polis Abd Talib Akob, 73, dan Fauziah Mohd Marzuki, 62, dari Taman Muhibbah, Jerantut.

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa dalam kemalangan maut di KM192.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu semalam. (Gambar JBPM)
KUANTAN:
Sepasang suami isteri warga emas maut, manakala anak lelaki dan menantu mereka cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat sekeluarga itu terjunam ke dalam gaung di KM192.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut ialah pesara polis Abd Talib Akob, 73, dan Fauziah Mohd Marzuki, 62, dari Taman Muhibbah, Jerantut.

Nahas pada 5.15 petang semasa hujan lebat itu menyebabkan anak mereka, Muhammad Taufik, 34, yang memandu kenderaan parah di kepala, manakala isterinya, Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 34, cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dinaiki mangsa dari Kuantan menghala ke Jerantut hilang kawalan menyebabkan ia melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jenazah pasangan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.